Entry Follow Dash Tips Cerpen tazkirah

Monday, 27 February 2012

---(@ ImAn.jgn di pandang enteng..@)---


Bagaimana menghasilkan keenakan iman?? 
di susun oleh Al-Quraisy..~
pernah kan bertanya dan cari tahu tentang ini...let's go,kita baca entry kali nim..

Sabda Rasulullah s.a.w., “Telah merasai keenakan iman sesiapa yang meredai Allah sebagai tuhannya, dan meredai Islam sebagai agamanya, dan meredai Muhammad s.a.w. sebagai nabinya,” diriwayatkan oleh Imam Ahmad dengan sanad yang sahih dengan lafaz di atas. Manakala Imam Muslim dan Tirmizi pula telah meriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. bahawa dia telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Telah merasai keenakan iman sesiapa yang meredai Allah sebagai tuhan, meredai Islam sebagai agama, dan meredai Muhammad sebagai rasul.”
Keenakan rasa yang muncul daripada keredaan ini ialah disebabkan makrifat kepada Allah taala, dan pengenalan ini adalah cahaya yang diletakkan Allah ke dalam hati sesiapa yang dicintai-Nya dari antara hamba-hambanya. Sudah tentu tiada sesuatu pun yang lebih mulia dan bernilai selain daripada cahaya ini. Manakala hakikat makrifat ialah hidupnya hati itu dengan al-Muhyi, yakni yang menghidupkannya, iaitu Allah s.w.t. sesuai dengan beberapa firmannya berikut;
1.   “Adakah orang yang sudah mati (hatinya), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya..” (surah al-An‘am: 122)
2.   “Supaya dia memberi peringatan kepada orang yang sedia hidup (hatinya), dan supaya nyata tetapnya hukuman (azab) terhadap orang-orang yang kufur ingkar.” (surah Yasin: 70)
3.   “Sesiapa yang beramal soleh, daripada lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik. Sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.” (surah an-Nahl: 97)
4.   Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan rasul-Nya apabila dia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna. Ketahuilah, sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya, dan sesungguhnya kepada-Nyalah kamu akan dihimpunkan.” (surah al-Anfal: 24)
Barangsiapa yang mati dirinya, terjauhlah dia dari muka dunia. Demikian pula barangsiapa yang mati hatinya, terjauhlah dia daripada Tuhan penciptanya.

Ayat-ayat Quran di atas menunjukkan betapa Allah menghidupkan hati-hati manusia muslim yang mukmin, dengan mengurniakannya cahaya, yang menerusinya dapatlah dia mengenal (makrifat) hakikat ketuhanan (uluhiyah). Lalu cahaya itu akan memimpinnya ke jalan yang diredai Allah dengan menerima dan mempraktikan segala ajaran rasul-Nya dengan sebaik-baiknya, sebagai hamba yang diperintahkan yang mesti patuh kerana sifat perhambaannya (ubudiyah). Manakala kepentingan ibadah itu akhirnya untuk dirinya sendiri yang akan dibalas oleh Tuhan kerana kepatuhannya kepada segala ajaran itu.

Namun begitu, sang hamba itu tidak harus memandang kepada amalan dan ibadah yang dilakukan itu, malah mestilah dia memandang dan menghargai Allah taala yang kepada-Nyalah dipersembahkan ibadah itu. Ianya kerana, hamba dan segala yang dimilikinya adalah kepunyaan tuannya, dan di sinilah Allah sebagai tuan yang memiliki kita manakala kita sebagai hamba yang dimiliki-Nya. Maka wajarlah sang hamba itu tidak mepunyai apa-apa pun, selain keseluruhan dirinya adalah dimiliki oleh tuannya. Sebab itulah dia tidak seharusnya memandang kepada amalan yang dibuatnya, malah mestilah dia memandang kepada tuan yang empunya dirinya itu.

Dengan cara begini, barulah muslim itu dapat merasakan kelazatan iman lantas menjadikan dirinya sebagai muslim yang mukmin, dalam erti kata merelai Allah sebagai tuhannya, Islam sebagai agamanya dan Rasulullah sebagai ikutannya. Sesungguhnya, semua amalan yang kita persembahkan kepada Allah s.w.t, itu ada kaitannya dengan konsep ini.

Ada yang mengatakan bahawa makrifat itu bererti, terlenyapnya segala penglihatannya selain daripada Allah taala, sehingga dia melihat selain daripada-Nya itu semuanya kecil, lebih kecil dari biji sawi, wallahuaklam.

Sesiapa yang memandang kepada Allah s.w.t., tidak mahu lagi memandang kepada dunia hatta akhirat. Oleh kerana, sesiapa yang tempat kemuncak pandangannya kepada Allah taala dia tidak akan menoleh lagi kepada dunia kerana dunia itu sebuah negeri yang fana, demikian pula dia tidak akan mengharapkan syurga dan kenikmatannya. Disebabkan dia telah mengetahui dengan sepenuh yakin, bahawa seutama-utama nikmat penghuni syurga iaitu memandang kepada wajah (zat) Allah Yang Maha Mulia itu, sesuai dengan firmannya dalam surah al-Qiyamah ayat 22 hingga 23 yang bermaksud, “Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri, melihat kepada Tuhannya,” kerana itulah mereka tidak perlu lagi melihat kepada apa-apa pun selain daripada Allah jalla wa ‘ala, dan inilah yang berlaku kepada seorang ahli sufi yang bernama Rabiatul Adawiyah. Cahaya hati orang mukmin itu adalah lebih terang sinarnya daripada cahaya mentari, sepertimana yang telah dinukilkan dalam syair ini,

Matahari pencinta-Mu terbit apabila malam mula menjelang,
Terus menyinari dan tidak akan hilang selama-lamanya,
Sesungguhnya matahari siang tenggelam di waktu malam,
Manakala matahari hati tidak pernah ada tenggelamnya.

Maka, jagalah kebersihan hati itu kerana ianya tempat pandangan Allah s.w.t., dan tempat simpanan segala rahsia, sesiapa yang sudah mengenali Allah, sesungguhnya dia tidak akan memilih selain-Nya untuk dijadikan kekasihnya.

Wallahuaklam.






0 Comment: